Saturday, September 12, 2009

Perlawanan Hidup Dalam Ramadan

Assalamualaikum para penonton sekalian,
Tepat jam 12 malam 16 Ramadan 1430 H, bilal meniupkan wisel tanda bermulanya separuh masa kedua perlawanan akhir, Piala Juara-Juara Ramadan di antara Taqwa United dan Nafsu City. Pengkritik dan penganalisa bola sepak tanah air (ustaz-ustaz) telah banyak memberikan pandangan serta komentar yang pedas tentang persembahan longlai pasukan tempatan, Taqwa United dalam tempoh separuh masa pertama perlawanan di konti-konti Masjid berdekatan.
Untuk makluman saudara sekalian,
Taqwa United sedang ketinggalan 3-0 oleh seteru tradisi, Nafsu City. Dua gol daripada penyerang berbisa Nafsu City iaitu Emmanuel Amarah manakala satu lagi gol daripada Carlos Umpat meletakkan pasukan mereka sebelah tangan menggenggam piala teragung buat umat. Strategi 3-4-4 dengan 4 orang striker yang digunakan team Nafsu City sukar dikekang barisan pemain muda Taqwa United. Barisan pertahanan team tempatan yang diketuai oleh Zikir Selawat dan pemain kelahiran Narathiwat, Wirid Harian lemas dalam asakan rangkaian serangan emas yang dibarisi Roque Syahwat Cruz, Carlos Umpat, Dengki-ho dan Emmanuel Amarah (Pemenang Kasut Emas Liga Juara Ramadan musim lalu dengan 30 gol setiap hari)
Penganalisa berpendapat jurulatih pasukan Taqwa United, Sir Iman DHati perlu melakukan rombakan besar-besaran bukan sahaja dari sudut taktik malahan pemain. Pemain-pemain veteran yang longlai seperti Pose Kosong dan Tido Slalu perlu diganti dengan pemain muda berbakat seperti Ikhlas Sedekah atau Tadarus Quran demi memantapkan jentera tengah pasukan Taqwa United. Pemain-pemain veteran kelihatan tidak bermaya dan gagal mengekang kelincahan Gareth Boros dan Stephen IkutNafsu terutama ketika waktu berbuka dan di pusat membeli-belah di separuh masa pertama.
Begitu juga dengan rangkaian serangan pasukan United yang diterajui Tahjud-Din dan Munajat Malam, MM perlu dikerah untuk beraksi di segenap kotak sejadah bagi mengucar-kacirkan kubu pertahan lawan yang dikawal ketat Jolelon Lagho dan Kolo TidoLajak. Tambahan pula, penyerang berkembar itu perlu mengelakkan diri daripada terus diselimuti kedua-dua tembok besar pasukan Nafsu City itu untuk menjaringkan gol-gol yang diperlukan.
Namun penganalisa tempatan begitu optimis bahawa team Taqwa United mampu mengurang defisit tiga gol lawan dalam separuh masa kedua nanti. Dengan ketiadaan ketua jurulatih pasukan City yang digantung, Iblis dan pembantu jurulatih, Satan, pasukan Taqwa United masih berpeluang merangkul kejuaraan kurniaan Ilahi seterusnya meraikan kemenangan di Aidilfitri.
Sewaktu wawancara bersama Sir Iman DHati, anak buahnya bersemangat mengejar bonus dan ganjaran berlipat kali ganda yang dikurniakan pada 10 minit terakhir permainan. Mereka juga berharap tuah Lailatul Qadar menyebelahi mereka untuk mempertahankan kejuaraan yang dimenangi mereka tahun lalu. Selain itu, beliau juga berharap agar ibrah Nuzul Quran dapat dijadikan tonik kemenangan dan pembakar semangat buat pasukan muda United mengejar impian mereka bergelar Juara.
Oh ! Kelihatan, penyokong pasukan Nafsu City dan Taqwa United sudah mula memenuhi semula tempat duduk masing-masing. Penyokong kedua-dua pasukan bersorak bersungguh-sungguh demi membangkitkan semangat team kesayangan mereka. Team sorak Nafsu City dengan pakaian yang menjolok mata dan mengurangkan pahala manakala team sorak Taqwa United dengan pakaian seorang Muslim sejati juga telah berkumpul di tepi padang untuk terus menghangatkan bahang perlawanan.
Siapakah yang akan memenangi perlawanan berprestij ini? Layakkah team Taqwa United menerima imbuhan pelepasan api neraka seperti yang dijanjikan Ilahi selepas tamat perlawanan? Atau kemenangan akan bertukar tangan kepada pasukan yang berbelanja besar, Nafsu City musim ini? Jika kemenangan bertukar tangan maka imbuhan kemenangan yang diperolehi akan dijadikan modal oleh Iblis dan Satan untuk terus berbelanja besar pada musim hadapan mengikat pemain-pemain terbaik dunia seterusnya menutup peluang pasukan lain mengejar impian akhirat.
Sama-sama kita saksikan kesudahan perlawanan akhir ini...

Saturday, September 5, 2009

Ramadan Sia-Sia Tanpa Fokus!

Sepertimana yang telah kita ketahui, bulan Ramadhan ada kelebihannya yang tersendiri yang tidak dapat di dalam bulan-bulan lain disamping tuntutan melaksanakan ibadah berpuasa yang menjadi trademark bulan Ramadhan. Kelebihan yang ada merupakan salah satu daripada banyak-banyak nikmat yang Allah berikan kepada kita diantaranya, Allah menjadikan setiap bulan-bulan Islam itu ada kelebihan dan ceritanya yang tersendiri. Bagi bulan Ramadhan, ibadah puasa dan ibadah-ibadah lain yang dilakukan akan mendapat ganjaran pahala berganda. Ianya juga menjadi titik tolak kepada keberjayaan seseorang dalam mencapai pangkat 'muttaqin' sebagaimana yang disebutkan di dalam firman Allah s.w.t :

"Hai orang-orang yang beriman, diwajibkan atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang sebelum kamu agar kamu bertakwa." (Surah Al-Baqarah, ayat ke-183).
Ya ! Taqwa menjadi kayu ukur kepada pencapaian seseorang itu sebagai hamba Allah. Tanpa taqwa , hidup seribu tahun pun ia tetap tidak berguna. Maka apakah kunci taqwa? Salah satu jawapan yang boleh saya kongsi ialah 'fokus'.
Sebenarnya setiap ibadah yang dilakukan samaada di dalam bulan Ramadhan mahupun diluar bulan Ramadhan perlu kepada fokus. Ibaratnya seperti pertandingan menembak. Mata yang memerhati objek itu tidak boleh hilang fokusnya. Sekiranya si penembak gagal mengawal matanya serta anggotanya supaya sentiasa di dalam keadaan fokus, maka objek yang ditembak pasti tidak mengena. Maknanya di sini, fokus boleh diterjemahkan dengan beberapa maksud. Diantaranya ialah khusyu' dan kata kuncinya ialah sebagaimana sabda Nabi s.a.w:

"Engkau beribadah seolah-olah engkau melihat Allah, maka sekiranya engkau tidak dapat melihatnya, sesungguhnya Allah melihat kamu."
Di awal surah Al-Mukminun, ada menyatakan bahawa fokus itu merupakan salah satu kunci yang membawa kepada kejayaan.

"Berjayalah orang-orang yang beriman. Iaitu mereka yang khusyu' di dalam solatnya."
Jika kita lihat, semasa bulan Ramadhan, antara ibadah-ibadah utama yang dituntut untuk dilaksanakan ialah berterawih, membaca Al-Quran dan bersedekah. Maka, yang dikatakan pahala amalan akan digandakan ketika bulan Ramadhan adalah bergantung kepada kualiti dan kuantitinya. Kalau terawih kuantiti rakaatnya banyak akan tetapi fokusnya sedikit , maka ganjarannya berdasarkan apa yang dilaksanakan. Apatah lagi, kalau tiada fokus lansung, maka ibadah tersebut menjadi sia-sia. Saya kadang-kadang terfikir, apakah matlamat kita sebenarnya? Kalau kita kata, kita inginkan keampunan, maka keampunan itu tidak akan diperolehi tanpa fokus.
Contohnya, fokus kita hilang ketika berpuasa atau ketika menunaikan solat terawih. Kita mengisi waktu puasa kita dengan perkara sia-sia bahkan lebih teruk lagi kita tuliskan di buku catatan amalan puasa kita dengan perkara-perkara dosa. Sedangkan, jika keampunan adalah matlamat kita, maka fokuslah kearahnya. Manakala solat yang tidak khusyuk itu sebenarnya tidak lebih hanya menyakitkan pinggang kita dan melenguhkan sendi-sendi kaki yang menahan bebanan berat badan. Maka solat kita musnah tanpa sebarang kesan akibat tiada fokus atau kekhusyukan.
Mungkin ada diantara kita, pernah melalui situasi ini, maka beristighfarlah. Saya yakin, syaitan pasti menyukainya. Diantara janji syaitan ialah mereka ingin melihat manusia berada di dalam keadaan faqir. Iaitu faqir pahala manakala sebaliknya mereka berjanji untuk menjadikan kita orang yang kaya dengan dosa. Bulan Ramadhan adalah bulan jihad. Orang kata syaitan tidak ada, tapi kita tahu nafsu masih ada dan takkan melepaskan kita kecuali maut telah tiba. Dan disitulah peranan jihad.

Ramadan Kini Melangkah Ke Perkarangan..

Syukur Alhamdulillah, dapat lagi kita bertemu..
Ana yang semenjak kebelakangan ini sangat sibuk, dan betul-betul memohon sejuta kemaafan apatah lagi ada bulan yang mulia ini..
Jika bulan Rejab dan Syabaan ialah bulan Allah S.W.T. dan Rasulullah S.A.W. respectively, maka Bulan ramadan ini dikatakan sebagai bulan Umat Muhammad..

Marilah kita bersama-sama mentop upkan iman kita, mengupgrade ibadah kita dan renovate hati kita, agar sama2sama mendapat barakah pada bulan ini.. Insya Allah.. Semoga kita diampuni oleh Allah..


Ramadhan penghapus dosa sebelumnya
Daripada iSa'id Al-Khudri bahawa sesungguhnya Nabi s.a.w. bersabda : "Barangsiapa berpuasa Ramadhan dan dia mengetahui batasan-batasannya dan dia memelihara apa-apa yang sepatutnya dia pelihara, nescaya puasanya itu menghapuskan dosa-dosanya sebelumnya."
( H.R. Ahmad dan Al-Baihaqi dengan sanad yang baik )
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...