Tuesday, March 19, 2013

ADAKAH KITA SOLAT MENYEMBAH OBJEK?


ADAKAH UMAT ISLAM SEMBAHYANG MENYEMBAH OBJEK | ADAKAH KITA SOLAT MENYEMBAH OBJEK? Kenapa Di Hadapan Orang Bersolat Ada Objek? Apa itu Sutrah atau dikenali sebagai pembatas?
“Apabila salah seorang di antara kamu telah meletakkan sesuatu objek yang setinggi seperti pelana haiwan tunggangan di hadapannya (sebagai sutrah atau penghadang), maka solatlah dan jangan pedulikan siapa pun yang melintas di sebalik objek tersebut.” (Hadis Riwayat Muslim, Kitab Solat, no. 241)
Tuan/puan mungkin pernah atau biasa melihat seseorang yang bersolat berseorangan dan di hadapannya terdapat sebuah objek bukan?
Kadang-kadang objeknya adalah beg, tongkat, kayu rehal, kerusi, bangku, kipas angin atau bakul. Ia sengaja diletakkan di hadapan mereka sebelum bersolat. Perbuatan begini mereka lakukan jika bersolat di ruang yang terbuka.
Jika di sana ada dinding atau tiang, yakni objek yang kukuh dan lebih kekal, nescaya mereka memilih untuk melakukan solat mengadap dinding atau tiang itu. Itu yang lebih utama berbanding objek-objek di atas. Yang pastinya, mereka tidak membiarkan di hadapan mereka kosong tanpa objek. Itu bagi orang yang bersolat seorang diri.
Bagi yang solat berjemaah pula, mungkin tuan/puan biasa melihat hanya imam sahaja yang melakukan perkara di atas, sedangkan makmumnya tidak.
Jika tuan/puan tidak pernah melihatnya atau tidak ingat, berikut beberapa gambar sebagai contoh (klik untuk besarkan saiznya):
Almari

tiang

kerusi
Kenapa mereka perbuat begitu?
Hal ini berlaku demikian kerana mereka faham akan sunnah Nabi Muhammad sallAllahu `alaihi wa sallam!
Sutrah adalah Sunnah Nabi SAW Ketika Bersolat
Meletakkan objek di hadapan sebelum mengerjakan solat adalah sunnah Nabi Muhammad sallAllahu `alaihi wa sallam. Objek ini merupakan pengadang atau pembatas kawasan solat atau istilah yang digunakan oleh Nabi ialah sutrah.
Berikut adalah beberapa hadith Nabi Muhammad sallAllahu `alaihi wa sallam mengenai sutrah:

 1)
كَانَ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقِفُ قَرِيبًا مِنَ السُّتْرَةِ, فَكَانَ بَيْنَهُ وَ بَيْنَ الْجِدَارِ ثَلَاثَةُ أَذْرُعٍ
“Adalah Nabi sallAllahu `alaihi wa sallam bersolat dekat dengan sutrah (pembatas), maka adalah di antara Baginda dan dinding tersebut adalah 3 hasta.” (HR al-Bukhari dan Ahmad)
 
2)
بَيْنَ مَوْضِعِ سُجُودِهِ وَالْجِدَارِمَمَرُّ شَاةٍ
“Jarak di antara tempat sujud Baginda dengan dinding lebih kurang cukup untuk dilalui seekor anak kambing.” (HR al-Bukhari dan Muslim)

3)
كَانَ اِذَا صَلَّى (فِي فَضَاءٍ لَيْسَ فِيهِ شَيْءٌ يَسْتَتِرُبِهِ) غَرَزَ بَيْنَ يَدَيْهِ حِرْبَةً فَصَلَّى وَالنَّاسُ وَرَاءَهُ

”Apabila Baginda bersolat (di tempat yang tiada sesuatu pun menutupi yakni tempat terbuka), beliau menancapkan tombak di depannya lalu bersolat, dan para sahabat bersolat di belakangnya.” (HR al-Bukhari, Muslim dan Ibnu Majah)

4)
وَاَحْيَانًا كَانَ يُعَرِّضُ رَاحِلَتَهُ فَيُصَلِّى اِلَيْهَا
Kadang-kadang Baginda melintangkan haiwan tunggangannya di hadapan Baginda, lalu bersolat mengadap haiwan tersebut. (HR al-Bukhari dan Ahmad)

5)
صَلَّى – مَرَّةً – اِلَى شَجَرَةٍ
“Baginda pernah bersolat mengadap ke pokok.” (HR an-Nasa’i dan Ahmad dengan sanad yang sahih)

6)
اِذَا وَضَعَ أَحَدُكُمْ بَيْنَ يَدَيْهِ مِثْلَ مُؤْخِرَةِ الرَّحْلَ فَلْيُصَلِّ وَلَا يُبَالِي مَنْ مَرَّ وَرَءَ ذَلِكَ

“Apabila seseorang di antara kamu telah meletakkan benda atau barang setinggi kayu bahagian belakang pelana, solatlah dengan tidak perlu menghiraukan orang yang melalui di sebelah benda itu.” (HR Muslim dan Abu Daud)
Itulah beberapa hadith yang sempat dikongsikan di sini untuk kita sama-sama fahami bahawa bersutrah iaitu meletakkan objek pembatas ketika bersolat memang suatu sunnah Rasulullah sallAllahu `alaihi wa sallam. Sayangnya, pengetahuan mengenainya sangat kurang di kalangan masyarakat kita.
Secara Ringkas
Secara ringkas mengenai hukum sutrah ialah seperti berikut:
Ulama berbeza pandangan mengenai hukum bersutrah, samada wajib atau sunat. Yang terbaik dan dekat dengan sunnah Nabi ialah bersutrah ketika solat, iaitu dengan meletakkan objek sebagai pembatas kawasan solat.
Apabila bersolat seorang diri, sutrah diadakan oleh orang bersolat sendirian itu. Apabila bersolat secara berjemaah, sutrah diadakan oleh imam sahaja. Makmum tidak perlu mendirikan sutrah kerana sutrah makmum ialah sutrah imam yang diikutinya.
Jika tiada sutrah, bolehlah dibuat garisan sebagai ganti sutrah.
Jarak antara tempat sujud dan sutrah ialah sekadar saiz jarak yang membolehkan anak kambing melaluinya. (bukan sebab hendak beri orang atau anak kambing melaluinya. Ia adalah untuk anggaran jarak.)
Jika ada orang hendak melalui kawasan antara orang yang bersolat dan sutrah, maka hendaklah orang bersolat itu menahan dan melarang.
Semoga dengan mengetahui hal ini, kita semua dapat menghidupkan sunnah bersutrah ketika melakukan solat, in shaa’ ALLAH, amin.
Allahu A`lam.

KENAPA BIBLE BUKAN INJIL?





Kebanyakan orang menyangka bahawa bible adalah nama lain bagi Kitab Injil. Ramai di khalayak umat Islam menyangka bahawa isi bible adalah kitab Injil yang Allah turunkan kepada Nabi Isa A.S. tetapi ianya di ubah. Apakah benar pandangan ini? Mari kita lihat sejarahnya kerana apabila disebut kitab Allah, ia bermaksud wahyu (kalamullah) yang diturunkan Allah S.W.T kepada seorang rasul. Selain Al-Quran, terdapat kitab-kitab lain yang diimani oleh umat islam iaitu Injil, Taurat dan Zabur. Adakah bible merupakan wahyu Allah yang diturunkan kepada Nabi Isa A.S?

Sebenarnya bible adalah himpunan kitab-kitab warisan daripada kitab-kitab yahudi (old testament, Perjanjian Lama) dan kitab-kitab yang ditulis selepas Jesus Christ (new testament, Perjanjian Baru). Ertinya, ia bukan wahyu Allah kepada Nabi Isa seperti Al-Quran yang merupakan wahyu kepada Nabi Muhammad S.A.W.

Apabila disebutkan wahyu, maka sebutannya adalah Allah berfirman, kerana itu adalah firman langsung Allah kepada seorang rasul agar disampaikan kepada umat. Bible adalah tulisan manusia atau riwayat. Kerana itulah kita dapati keraguan terhadap ketuluenan bible terus menjadi isu yang dibangkitkan oleh penganut Kristian sendiri.

Apakah kaitan Gospel dengan bible?

Gospel adalah tulisan kitab-kitab warisan yang kononnya telah ditulis oleh pengikut-pengikut Jesus Christ. Gospel merupakan kandungan atau juzuk-juzuk dalam bible. Ia merujuk kepada empat buah kitab awal di dalam bible pada bahagian New Testament yang merakankan kisah hidup dan kematian Jesus Christ; Gospel of Matthew, Mark, Luke dan John yang digelar Canonical bible atau Injil Kanonik. Keempat-empat kitab ini dianggap sahih pada pandangan ilmuan Kristian, walaupun pada awalnya terdapat beberapa kitab Gospel selain daripada itu. Bagaimanapun, tiada satu bahagian pun daripada Gospel tersebut yang masih kekal dan dapat diwarisi. Ironinya, keempat-empat Gospel yang dijadikan rujukan itu asalnya dalam bahasa Greek dan bukannya bahasa Aramaic iaitu bahasa pertuturan Nabi Allah Isa A.S. dan pengikutnya.

Apakah kesan Gospel tersebut terhadap kepercayaan kepada tuhan?

Adalah penting untuk diketahui umum bahawa terdapat 10 buah kitab Gospel sebelum abad ke-4 Masihi. Termaktub di dalam sejarah, Raja Konstantin I telah mengumpulkan ahli-ahli agama dalam Majlis Nicaea pada tahun 325 M bertujuan untuk menyelesaikan pertelingkahan sengit terhadap persoalan pokok di dalam kepercayaan di kalangan soal kepercayaan di kalangan ahli-ahli agama Kristian iaitu bersangkutan dengan isu sama ada Jesus (Nabi Isa A.S) itu Tuhan atau tidak.

Terdapat dua golongan ilmuan Kristian pada waktu itu. Satu golongan ilmuan mempercayai Jesus adalah seorang insan (hamba Tuhan) dan satu golongan lagi mempercayai ketuhan Jesus (memiliki unsur ketuhanan/anak Tuhan). Golongan majoriti di kalangan ilmuan ketika itu mengatakan bahawa Jesus adalah hamba Tuhan. Walau bagaimanapun, dalam majlis tersebut golongan majoriti ini telah di paksa supaya tunduk dan mengalah kepada golongan minoriti yang mempertuhankan Jesus.
Golongan ilmuan majoriti terpaksa mengalah kepada minoriti. Sesuatu yang bertentangan dengan disiplin ilmu dan amat tidak masuk akal.

Semua prinsip ilmu terpaksa tunduk kepada kehendak Raja Konstantin I. Beliau merupakan Maharaja Rom yang pertama memeluk agama Kristian. Sebagai Raja Rom, kepercayaa pagan dan mitos yang berasal daripada mitologi Romawi yang percaya kepada pelbagai tuhan dan dewa-dewi masih bertapak dalam dirinya. Ini mempengaruhi keputusan Majlis Nicaea. Peranannya dalam mencari jalan penyelesaian kepada pertelingkahan golongan agamawan membawa kepada satu resolusi Majlis Nicaea (325 M) yang menerima pakai doktrin ketuhanan Jesus dan konsep ‘triniti’; mempercayai bahawa ‘tuhan itu tiga’, iaitu terdiri daripada Tuhan bapa, Tuhan anak dan Ruhul Qudus.

Serentak dengan itu, Majlis Nicaea (325 M) juga telah menafikan kesahihan beberapa kitab Gospel selain daripada Gospel of Matthew, Mark, Luke dan John, di antaranya ialah The Letter of Barnabas, Didache, Thomas dan Mathias (sekadar menyebut beberapa nama). Bible yang lain ini dianggap palsu, menyimpang, tidak asli atau dongeng. Mereka menggolongkannya ke dalam istilah seperti Gnostik atau Apocrypha.
Peristiwa ini berlaku sekitar 300 tahun setelah ‘kematian’ Jesus Christ. Bertitik tolak dari situlah berkembangnya segala kekeliruan dan pertentangan akidah dengan kepercayaan yang telah dipegang oleh majoriti penganutnya sebelum tarikh tersebut.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...